Mar 26, 2011

Konsep Al-Sunnah- Golongan Anti-Sunnah

Assalamualaikum,

Yesterday we have learnt on definition, and today let's 'berkenalan' who is anti-Sunnah.

Mengikut Muhammad Abu Zahrah, golongan anti-sunnah ini sebagai golongan yang tidak jujur terhadap Islam dan cuba mengharubirukan agama melalui kritikan mereka terhadap al-Sunnah setelah tidak berjaya melakukan sesuatu terhadap al-Quran. Golongan ini telah lahir pada zaman Imam Syafie dan telah dapat ditumpaskan oleh Imam tersebut dengan jayanya.

Golongan anti sunnah ini dapat dibahagikan kepada 3 golongan:

  1. Golongan yang menafikan langsung kedudukan al-Sunnah sebagai sumber hukum Islam. Bagi mereka ini tidak ada sumber hukum yang lain kecuali al-Quran.
  2. Golongan yang tidak menerima al-Sunnah kecuali apabila al-Sunnah berkenaan secara khusus menyamai apa yang tersebut dalam al-Quran.
  3. Golongan yang tidak menerimaal-Sunnah kecuali yang mutawatir sahaja(tiada keraguan).

Penegasan Imam Syafie dalam menolak pandangan-pandangan ini;

  • Golongan pertama dan kedua tidak akan dapat memahami banyak hal yang terdapat dalam al-Quran seperti Solat, Zakat, haji dan kewajipan-kewajipan lain yang disebut oleh al-Quran secara mujmal (total). Keterangan-keterangan lanjut tentang ibadah-ibadah ini hanya dapat diambil dari al-Sunnah.
  • mengenai golongan ketiga, Imam Syafie berhujah bahawa di dalam Islam, tidak semua perkara perlu mencapai tahap mutawatir. Sebagai contoh, pada zaman Rasulullah, utusan-utusan dakwah yang diutus Rasulullah kepada berbagai pihak bagi menyampaikan perutusan Islam terdiri daripada sama ada orang perseorangan atau pun suatu kumpulan kecil yang hanya terdiri daripada beberapa orang sahaja. Kalaulah syarat mutawatir itu adalah satu syarat mutlak bagi penerimaan apa-apa riwayat, tentu sekali Rasullullah tidak akan menghantar perutusan2 dalam bentuk begitu, kerana tentu seklai pihak penerima utusan akan menghujah bahawa beliau tidak boleh menerima perutusan itu hanya kerana ianya tidak mutawatir.
  • Menurut Imam Syafie lagi, penerimaan kadar kesaksian dari dua orang lelaki sebagai sebilangan saksi yang cukup dalam kes-kes sivil dan sesetengah jenayah dalam Islam.Kalau sifat mutawatir itu suatu keperluan yang mutlak pada setiap perkhabaran atau kenyataan yang boleh diterima, Islam tidak akan menerima kesaksian-kesaksian atau kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh bilanganyang tersebut.
"Allah memberkati seorang hamba yang mendengar kata-kataku lalu menghafal dan mengingatinya serta menceritakannya tepat sebagaimana yang didengarnya"
Hadis Jabir (Riwayat Abu Daud)

Beberapa hujah yang popular di kalangan anti-sunnah dalam mempertahankan pendapat mereka dalam menolak hadis.

  1. Terdapat di dalam al-Quran ayat-ayat secara umumnya bermaksud bahawa segala sesuatu dalam alam ini ada tersebut dalam al-Quran. "Tidak kami cuaikan dalam kitab itu sesuatu apa pun" (QS Al-An'am 6:38), "Dan telah Kami turunkan kepada kamu al-Kitab itu sebagai yang menjelaskan segala sesuatu". (QS an-Nahl 16:89)
  2. Allah mensifatkan al-Quran sebagai al-Zikr, yang satu-satunya dijamin akan terus terpelihara tanpa diganggu gugat dan diselewengkan. "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kamilah yang mengawasinya". (QS al-Hijr 15:15). Mereka menghuraikan bahawa bentuk ungkapan yang terdapat dalam ayat tersebut menunjukkan bahawa hanya al-Quran sahajalah yang dijamin oleh Allah dari segala penyelewengan. Kalaulah al-Sunnah juga suatu sumber kepada hukum Islam, tentu sekali ianya turut dijamin oleh Allah. Ketiadaan jaminan seperti ini untuk al-Sunnah menunjukkan bahawa ianya tidak seperti al-Quran, bukan suatu sumber yang boleh diterima dalam pembinaan hukum Islam.
  3. Kalaulah benar al-Sunnah itu suatu sumber hukum Islam, tentu sekali Rasulullah saw memerintahkan para sahabat menulisnya sebagaimana yang dilakukan terhadap al-Quran. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Malah Rasulullah pernah melarang para Sahabat melakukan penulisan seperti itu kerana sebab-sebab tertentu, termasuk menghindarkan percampuran anatara al-Sunnah dan al-Quran.
Penafsiran para ulama dalam menolak penterjemahan golongan anti-Sunnah:

  • Menurut para ulama', apa yang dimaksudkan dalam poin 1 bukanlah dilihat kepada setiap hukkum tetapi segala norma dan prinsipnya. Pentafsiran ini disokong oleh kenyataan bahawa terdapat beberapa hal pokok terperinci dalam Islam yang tidak disebut dalam al-Quran seperti bilangan rakaat sembahyang dan waktunya, nisab zakat, gerak laku ibadat hajidan sebagainya. Keadaan seperti ini tidaklah pula mencacatkan al-Quran kerana sifatnya meliputi secara prinsip ini telah menjadikannya lebih kukuh dan gagah dalam menghadapi setiap pembaharuan dalam hidup masyarakat manusia.
  • Bagi hujah kedua pula, para ulama menolak secara tegas perkataan al-Zikr sebagai al-Quran kerana ada kemungkinan ia diertikan sebagai sebagai Syariat secara umum yang di dalamnya termasuk wahy matluw (Al-Quran) dan wahy ghairu matluw (al-sunnah).
  • Bagi menolak hujah ketiga pula, pelarangan penulisan hadis pada awalnya adalah untuk mengelakkan percampuran dengan al-Quran. Arahan khalifah Abu Bakar terhadap para sahabat supaya tidak meriwayatkan hadis2, ia lebih diertikan gesaan daripada beliau sendiri supaya semua pihak berhati-hati dalam meriwayatkan hadis-hadis supaya jangan tersilap. Ini kerana Rasulullah sendiri membenarkan hadis-hadis diriwayatkan.

No comments:

Post a Comment