May 14, 2008

Taujihat

Apabila berlaku sesuatu musibah, bala’, fitnah atau tragedi alam, kita lazim berkata “Pasti ada sebab atau hikmah Allah di sebaliknya. Ia hanya satu peristiwa yang buruk pada ukuran manusia tetapi tidak buruk pada ukuran Allah.”
Perkataan di atas adalah benar akan tetapi yang menjadi persoalan adalah, sejauh mana kita yakin dan tenteram dengan perkataan tersebut. Atau mungkinkah di celah-celah hati timbul soalan “Kenapa Allah bertindak zalim mengazab orang yang tidak bersalah?” Atau mungkin rakan bukan Islam kita yang bertanya “Kenapa tuhan Islam kejam menghukum manusia, termasuklah umat Islam sendiri, dengan kebuluran, gempa bumi, taufan dan banjir?”
Seandainya kita memiliki jawapan daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, sudah tentu ia akan menjadikan hati kita benar-benar yakin dan tenteram. Bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala memang memiliki sebab dan hikmah di sebalik sesuatu peristiwa musibah, bala’, fitnah dan tragedi alam.
Tulisan ini insya-Allah akan cuba memaparkan sebab dan hikmah tersebut berdasarkan keterangan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sebelum itu akan diberikan beberapa keterangan sebagai pendahuluan:
Pertama: Maksud Musibah, Bala’ dan Fitnah.
· Musibah ialah sesuatu yang tidak disukai yang ditimpakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas manusia akibat daripada kesalahan besar yang mereka lakukan.
· Bala’ ialah ujian yang Allah beri kepada seseorang demi kebaikan dirinya sendiri sekali pun orang itu pada asalnya tidak menyedarinya.
· Fitnah ialah ujian yang Allah timpakan kepada manusia tanpa dibezakan sama ada disebabkan oleh kesalahan manusia itu atau untuk kebaikan manusia tersebut.
· Maka fitnah adalah umum manakala musibah dan bala’ adalah khusus. Fitnah boleh merangkumi musibah atau bala’.
Walaubagaimana pun untuk memudahkan tulisan ini, musibah, bala’ dan fitnah akan disebut secara bersamaan.
Kedua: Antara Izin Dan Redha Allah.
Setiap musibah berlaku dengan izin Allah sebagaimana firman-Nya:
مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلاَّ بِإِذْنِ اللَّهِ.
Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah. [al-Taghabun 64:11]
Perhatikan bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala menggunakan perkataan “izin”, di mana sesuatu yang diizinkan oleh Allah tidak semestinya diredhai oleh Allah. Ini sebagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala mengizinkan manusia untuk beriman atau tidak kepada-Nya:
وَقُلْ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ.
Dan katakanlah: “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” [al-Kahf 18:29]
Namun di sebalik keizinan ini tidaklah bererti Allah redha kepada makhluk yang enggan beriman kepada-Nya:
إِنْ تَكْفُرُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنْكُمْ وَلاَ يَرْضَى لِعِبَادِهِ الْكُفْرَ وَإِنْ تَشْكُرُوا يَرْضَهُ لَكُمْ.
Jika kamu kafir, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak berhajatkan (iman) kamu dan Dia tidak (sekali-kali) redha hamba-hamba-Nya berada dalam keadaan kafir; akan tetapi jika kamu bersyukur (dengan beriman kepada-Nya), Dia meredhainya bagi kamu. [al-Zumar 39:07]
Justeru apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengizinkan sesuatu musibah, tidaklah bererti Allah meredhainya. Namun Allah tetap mengizinkannya kerana sesuatu sebab atau hikmah yang ingin dicapai di sebalik musibah tersebut.
Ketiga: Musibah, Bala’ Dan Fitnah Tidak Semestinya Dalam Bentuk Sesuatu Yang Tidak Disukai Manusia.
Perkara ketiga yang ingin diterangkan sebagai pendahuluan adalah, bukan semua musibah, bala’ dan fitnah yang Allah izinkan wujud dalam bentuk yang tidak disukai oleh manusia. Ia boleh juga berlaku dalam bentuk yang disukai atau dianggap baik oleh manusia:
وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً.
Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah. [al-Ankabut 21:35]
Oleh itu hendaklah mereka yang merasai selama ini “terbebas” daripada sebarang musibah, bala’ atau fitnah berhati-hati kerana:
وَعَسى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ.
Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. [al-Baqarah 2:216]
Akan tetapi kebanyakan musibah, bala’ dan fitnah berlaku dalam bentuk yang tidak disukai oleh manusia kerana ia lebih berbekas, lebih memberi kesan sehingga dengan itu sebab atau hikmah yang diingini mudah tercapai.
Berikut diterangkan sebab atau hikmah di sebalik sesuatu musibah, bala’ dan fitnah:
Pertama: Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah Kepada Hamba-Nya.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ.
Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).[1]
Apabila sesuatu bala’ menimpa sesuatu kaum, jangan kita pantas mengatakan mereka sedang diazab oleh Allah. Ini kerana boleh jadi apa yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Allah mengasihi kaum itu dan menurunkan ujian sebagai bukti kasih sayang-Nya. Melalui ujiannya itu Allah mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada para hamba-Nya yang redha.
Kadangkala sesuatu ujian amatlah berat sehingga lebih mirip kepada siksaan. Ini boleh jadi benar akan tetapi sekali lagi ia tidak bererti mereka ialah satu kaum yang derhaka sehingga Allah sedang mengazab mereka. Ini kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkehendaki kebaikan bagi sesuatu kaum, Dia mempercepatkan siksaan di dunia terhadap apa-apa kesalahan kecil yang telah mereka lakukan sehingga dengan itu mereka bebas di akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:
إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Apabila Allah mengkehendaki bagi hamba-Nya kebaikan, maka Dia akan menyegerakan siksa baginya di dunia manakala apabila Allah mengkehendaki bagi hambanya keburukan, maka Dia akan menangguhkan siksaan itu hingga Hari Kiamat kelak.[2]
Kedua: Sebagai Meningkatkan Jati Diri Seorang Muslim.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنْ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنْ الأَمْوَالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرْ الصَّابِرِينَ.
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. [al-Baqarah 2:155]
Seseorang yang pernah mengalami kesukaran pasti akan memiliki jati diri yang lebih kukuh berbanding orang yang tidak pernah melaluinya. Jati diri tersebut dibuktikan dengan kesabaran dan ketenangan apabila menghadapi kesukaran, bukan dengan kemarahan dan rungutan.
Maka untuk meningkatkan jati diri seorang muslim, Allah Subhanahu wa Ta'ala akan sentiasa mengujinya dengan pelbagai ujian dari masa ke masa. Melalui kesabaran di antara ujian kepada ujian, bertambah tinggilah jati diri orang yang mengalaminya.
Ketiga: Sebagai Pengukur Tahap Iman.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لاَ يُفْتَنُونَ (2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3).
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta. [al-Ankabut 29:2-3]
Keempat: Sebagai Peringatan Kepada Yang Leka.
Manusia apabila dalam kesenangan, mereka lazimnya akan leka daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, daripada mensyukuri nikmat-Nya dan daripada memperbanyakkan ingatan (zikr) kepadanya. Tidak ketinggalan ialah orang yang telah dikurniakan Allah dengan penghayatan agama yang baik, lalu timbul sikap ujub dalam dirinya sehingga dia mula melencong atau memandang hina orang yang rendah penghayatan agamanya. Terhadap manusia yang leka sebegini, Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan musibah, bala’ dan fitnah kepadanya agar dia kembali mengingati Allah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
أَوَلاَ يَرَوْنَ أَنَّهُمْ يُفْتَنُونَ فِي كُلِّ عَامٍ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ ثُمَّ لاَ يَتُوبُونَ وَلاَ هُمْ يَذَّكَّرُونَ.
Dan mereka tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan pelbagai ujian) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat dan tidak pula mereka mahu beringat (serta insaf)? [al-Taubah 9:126]
Kelima: Sebagai Balasan Kepada Orang Shalih Yang Tidak Melaksanakan Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
Saya pernah mendengar orang yang menganggap dirinya shalih berkata kepada orang yang lazim melakukan kemungkaran: “Disebabkan mereka inilah Allah menurunkan azab!” Kenyataan ini tidak semestinya betul kerana adakalanya Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan musibah, bala’ dan fitnah kerana orang shalih yang enggan melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar terhadap orang yang lazim melakukan kemungkaran. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لاَ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya. [al-Anfal 8:25]
Selari dengan ayat ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي هُمْ أَعَزُّ وَأَكْثَرُ مِمَّنْ يَعْمَلُهُ لَمْ يُغَيِّرُوهُ إِلاَّ عَمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ.
Tidaklah satu kaum yang di kalangan mereka terdapat orang-orang yang melakukan maksiat sementara kaum itu pula lebih kuat dan lebih ramai daripada orang-orang yang melakukan maksiat, tetapi mereka tidak pula menghalangnya, melainkan Allah meliputi mereka semua dengan siksaan.[3]
Keenam: Sebagai Penghapus Dan Pembalas Kesalahan.
Seorang muslim tidak maksum daripada melakukan kesalahan. Sedikit sebanyak, di sana sini, pasti dia akan melakukan kesalahan yang mengakibatkan dosa. Bagi membersihkan atau menghapuskan dosa tersebut, Allah memberikannya ujian sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلاَ وَصَبٍ وَلاَ هَمٍّ وَلاَ حُزْنٍ وَلاَ أَذًى وَلاَ غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلاَّ كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ.
Tidaklah sesuatu menimpa seorang muslim daripada kelemahan, wabak, kebingungan, kesedihan, sakit, kesusahan sehinggalah kepada duri yang menusuknya, melainkan Allah menghapuskan dengan (itu semua) kesalahannya.[4]
Apabila seseorang itu melakukan kesalahan yang besar lagi banyak, maka Allah menimpakan musibah kepadanya, musibah yang memang tidak dapat dielakkan oleh manusia. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ (30) وَمَا أَنْتُمْ بِمُعْجِزِينَ فِي الأَرْضِ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلاَ نَصِيرٍ (31).
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu musibah, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan musibah, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi; dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah - sebagai pelindung atau pemberi pertolongan. [al-Syura 42:30-31]
Ketujuh: Sebagai Menguji Sikap Orang Yang Terlepas Daripada Musibah, Bala’ Dan Fitnah.
Kadangkala apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala menimpakan musibah, bala’ atau fitnah kepada sesuatu kaum, ia juga merupakan ujian kepada mereka yang pada saat itu terlepas daripadanya. Ini kerana apabila Allah menguji satu kaum, Allah juga sekali gus menguji kaum yang lain, sama ada mereka bersyukur atau angkuh, sama ada mereka turut menghulurkan bantuan atau sekadar bersilang kaki meneka kenapa kaum itu layak ditimpa musibah, bala’ atau fitnah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ .
Dia-lah yang telah menciptakan mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun. [al-Mulk 67:02]
Demikian tujuh sebab dan hikmah Allah Subhanahu wa Ta'ala di sebalik sesuatu musibah, bala’ atau fitnah. Sebenarnya agak sukar untuk kita mengenal pasti secara terperinci apakah sebab dan hikmah di sebalik sesuatu musibah, bala’ atau fitnah. Ia boleh jadi salah satu daripada tujuh sebab dan hikmah di atas dan ia boleh jadi himpunan dua atau lebih daripada tujuh sebab dan hikmah tersebut.
Sebagai contoh, ketika saya menulis risalah ini, negara Myanmar baru sahaja dilanda taufan Nargis sehingga memangsakan jutaan penduduknya. Di antara yang menjadi mangsa ialah umat Islam yang boleh jadi Allah Subhanahu wa Ta'ala mengasihi mereka, menginginkan kebaikan bagi mereka, meningkatkan lagi jati diri mereka atau mengukur tahap keimanan mereka. Di antara yang menjadi mangsa ialah umat bukan Islam yang boleh jadi Allah Subhanahu wa Ta'ala ingin melihat siapakah di kalangan hamba-hamba-Nya yang terselamat di belahan bumi lain yang berlumba-lumba menghulurkan bantuan.
Mungkin ada yang berkata, taufan Nagris adalah musibah yang Allah timpakan sebagai azab kepada penduduk Myanmar yang kebanyakannya tidak beragama Islam. Saya rasa kemungkinan ini amat nipis kerana belum sampai kepada kebanyakan penduduk Myanmar dakwah Islam yang lurus dan tulen yang disampaikan oleh seorang ulama’ pewaris Rasul. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّى نَبْعَثَ رَسُولاً.
Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). [al-Isra’ 17:15]
Justeru status sebenar penduduk Myanmar yang bukan Islam kita serahkan kepada Rahmat dan Keadilan Allah Subhanahu wa Ta'ala.




[1] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396-2 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar dalam menghadapi bala’).
[2] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 2396 (Kitab al-Zuhud, Bab berkenaan sabar dalam menghadapi bala’).
[3] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna‘uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka terhadap Musnad Ahmad, hadis no: 19230 (jld. 4, ms. 364).
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 5641-5642 (Kitab al-Maradh, Bab berkenaan penyakit adalah penghapus kesalahan).
Sharing is caring
adapted from: http://alastani.multiply.com

No comments:

Post a Comment